Ahad, 26 September 2010

ABDULLAH BIN MAS'UD

NAMA sebenar beliau ialah Abdullah bin Mas‘ud bin Ghafil. Beliau merupakan seorang sahabat Nabi Muhammad yang terawal memeluk agama Islam dan merupakan penulis wahyu yang memahami lebih mendalam mengenai al-Quran. Bacaan al-Quran yang dilagukannya juga sedap didengar.



Nabi Muhammad berkata: “Abdullah bin Mas‘ud pandai membaca al-Quran dengan baik. Bagi sesiapa yang mahu membaca al-Quran, bacalah sepertimana yang dibaca oleh Abdullah bin Mas‘ud.”


Abdullah juga merupakan sahabat Nabi Muhammad yang terkenal sebagai pentafsir al-Quran. Beliau juga mengetahui sebab-sebab sesuatu surah itu diturunkan dan tidak ketinggalan turut serta dalam semua siri peperangan bersama Nabi Muhammad demi menegakkan agama Islam.


Beliau juga merupakan seorang penyair yang baik. Suaranya sedap di dengar ketika bersyair selain menguasai bidang fekah dan hadis.


Abdullah adalah sahabat yang setia kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Kesetiaannya dapat dilihat semasa mengikuti semua siri peperangan bersama Nabi Muhammad.


Setiap kali tentera Islam berperang dengan tentera musuh, Abdullah di lantik oleh Nabi Muhammad menjadi pembantunya. Beliau sedia membantu Nabi Muhammad demi keselesaan baginda semasa peperangan. Antara khidmat yang diberikan oleh beliau kepada Nabi Muhammad ialah membawa kasut Nabi Muhammad apabila diminta.


Apabila Nabi Muhammad mahu berehat atau tidur, beliau bersedia memberikan bantal kepada Nabi Muhammad. Begitu juga apabila Nabi Muhammad mahu bersiap bagi bersembahyang, Abdullahbersedia menyediakan air bagi Nabi Muhammad berwuduk.


Kerelaan Abdullah memberi khidmat kepada Nabi Muhammad menyebabkan beliau digelar sebagai pengurus kasut, pengurus bantal dan pengurus wuduk.


Nabi Muhammad ada berkata: “Abdullah bin Mas‘ud adalah ketua yang saya lantik sendiri tanpa mendapat persetujuan daripada sesiapa.”
Begitulah Nabi Muhammad memandang tinggi Abdullah. Malah menurut Nabi Muhammad apa yang dilaporkan oleh Abdullah mengenai Nabi Muhammad adalah benar.


Nabi Muhammad ada berkata: “Apa yang disampaikan oleh Abdullah bin Mas‘ud mengenai diri saya, semuanya adalah benar-benar belaka. Kamu semua harus mempercayainya.”


Pernah suatu hari Abdullah dan ibunya pergi ke rumah Nabi Muhammad. Abdullah dan ibunya sering ke rumah Nabi Muhammad.
“Apa khabar Abdullah dan makcik, sihatkah?" tanya Nabi Muhammad yang pada ketika itu mahu menjamah makanan.
“Saya sihat. Cuma ibu saya baru sahaja baik dari demam,” balas Abdullah.


“Syukur kepada Allah kerana mengurniakan kami kesihatan yang baik,” kata Abdullah bin Mas‘ud lagi.


“Orang yang sentiasa bersyukur atas kesihatannya, ditambahkan lagi nikmat kesihatan,” kata Nabi Muhammad pula.


Semasa mereka rancak berbual-bual, tiba-tiba datang serombongan orang ke rumah Nabi Muhammad. Rombongan itu datang dari negeri Yaman. Mereka mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad. Pada masa itu Abdullah dan ibunya ada di rumah Nabi Muhammad.


“Assalamualaikum. Kami datang dari Yaman. Kami mahu berjumpa dengan Nabi Muhammad,” kata salah seorang daripada ahli rombongan itu.


“Waalaikumsalam. Silakan masuk,” jawab Abdullah dan ibunya.


Pada ketika itu Nabi Muhammad berada di dapur rumahnya. Rombongan dari Yaman itu menyangka Abdullah dan ibunya adalah ahli keluarga Nabi Muhammad.


“Adakah kamu berdua ini ahli keluarga Nabi Muhammad?" Tanya ahli rombongan itu.
Tidak sempat Abdullah menjawab, Nabi Muhammad muncul di ruang tamu rumahnya itu.
Kemudian Nabi Muhammad berkata: “Masuklah. Tadi, saya dengar ada rombongan dari Yaman mahu berjumpa saya.”


Kedatangan rombongan itu disambut baik oleh Nabi Muhammad. Abdullah juga turut membantu Nabi Muhammad melayani tetamu yang datang itu.
Kesetiaan dan keakraban Abdullah dengan Nabi Muhammad secara tidak langsung terjalin hubungan yang rapat dan ikatan yang erat.


Menurut cerita, hanya Abdullah sahaja yang dibenarkan melawat Nabi Muhammad pada bila-bila masa.
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Abdullah dilantik menjaga Baitulmal di Kufah.
Semasa pemerintahan Khalifah Usman, Abdullah kembali semula ke Madinah.
Akhirnya, beliau meninggal dunia pada tahun 32 Hijrah bersamaan 652 Masihi.

Sumber: Utusan Online

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

renunglah dng mata hati..

renunglah dng mata hati..