Rabu, 25 Ogos 2010

Nafsu, Roh dan bulan Ramadhan

Semua orang ada nafsu. Nafsu adalah rahsia kekuatan manusia untuk meneruskan kehidupan didunia ini. Tanpa nafsu putaran kehidupan manusia akan terhenti.


Nafsulah yang mendorong kita berkerja kuat untuk mengumpul harta, mendapatkan keududukan tinggi, beranak pinak, mempertahankan diri dari ketakutan, berlindung dari sebarang ancaman dan sebagainya. Mencapai kenikmatan dan kepuasan dalam semua aspek kehidupan disebut “zinatul al hayati ad dunya”, kelengkapan hidup di dunia.

Selama ia dikumpulkan dengan cara yang halal, tidak zalim dan tidak mengorbanankan kepentingan akhirat ia adalah satu yang tidak ditegah oleh agama.


Nafsu pada asasnya tidak faham, tidak jujur, tidak tahu halal haram dan tidak tahu tentang kelebihan akhirat. Yang faham itu semua ialah ruh yang tempatnya ialah di hati. Ruh adalah rahsia Allah s.w.t pada manusia. Dengan Ruh manusia faham apa disebalik alam semuala jadi, faham buruk baik, maslahah, hikmat disebalikkejadian, ketuhanan, pembalasan dan seumpamanya.
Jadi dengan nafsu manusia berurusan dengan perkara-perkara tabi’e /semulajadi dan dengan ruh manusia boleh faham apa disebalik tabiat/semula jadi. Kalau ikut nafsu kita akan makan apa sahaja yang menyelerakan sesedap kita, tetapi ruh atau hati yang memberitahu samada ia baik untuk kesihatan, adakah ia halal atau haram dan sebagainya.

Kalau ikut nafsu kita nak kahwin dengan sesiapa sahaja tidak kira berapa bilangannya, tetapi ruh/hati yang bertanya berapa kemampuan kita, apa kesannya kepada pengurusan hidup harian kita, berapa yang dihalalkan oleh tuhan dan seumpamanya.

Itulah perbezaan antara nafsu dan ruh. Agama keseluruhanya adalah makanan ruh. Ruh adalah perhubungan antara manusia dengan tuhannya. Sesaorang yang sihat ruhnya ialah sesaorang yang baik hubungan dengan tuhannya(sempurna makrifatnya). Dengan hati/ruh yang sihat, Allah s.w.t memberikan manusia penerokaan-penerokaan ilmu (futuhat/mukasyafat) yang tidak habis-habis. Terbentang baginya rahsia malakut ini. Ia hidup dialam rabbani bersama tadbir Allah s.w.t dan kebijaksanaannya.

Nafsu dan ruh akan sering bertentangan. Jika ruh sesaorang lebih kuat, ia akan menang dan kehidupan manusia akan sejahtera dan jika nafsu pada waktu, ia akan menang dan kehidupan manusia akan menuju bahaya.

Sebagai contoh, apabila sesaorang kita berhadapan dengan hidangan makan seafood yang sedap. Nafsu telah menjadikannya meleleh air liur dan tunggu masa nak terkam sehabisnya, tetapi ruhnya tahu bahawa pengambilan seafood yang banyak boleh menyebabkan peningkatan asid urik dalam tubuhnya dan akan mengakibatkan atau batu karang. Kalau waktu itu ruh dia kuat dia akan kawal pengambilan seafood tetapi kalau nafsunya yang kuat dia hanya akan bagi tazkirah bila dia masuk hospital.

Nafsu yang terdidik ialah nafsu yang tunduk kepada pandangan ruh, pandangan ilmu dan dapat menjuruskan kepuasan dan kelazatan mengikut panduan ruh dengan memperdekatkan kenikmatan aljinan(syurga)dan azab jahanam, menyaksikan kehaibatan rahmat, keridhaan, keampuanan dan kurniaan. Sentiasa berada dalam syuhud (menyaksikan) hidayah, imtinan serta belaian yang tidak berhabisan yang melahirkan rasa malu untuk menyalahi peraturan tuhan.
Demikian kita dapat faham rahsia kelebihan puasa pada bulan Ramadhan. Manusia berbeza-beza berdasarkan kekuatan ruhnya. Ada yang hadapi dengan susah payah menanggung tekanan mengekang nafsu yang kepuasannya terhalang dan ada yang senang lenang sedang melayan rindu menantikan keindahan hari didatangi janji tuhan. Lapar dan dahaga seperti tidak disedari persis seperti seorang anak-anak yang dalam penantian mendapat berita bahawa ibu bapa yang dirindui esok lusa akan pulang.

oleh:Ust. Abdullah Zaik Abd Rahman
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) [Presiden]

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

renunglah dng mata hati..

renunglah dng mata hati..